Kasih Sayang Sangat Tinggi Nilainya
Petikan :
" Islam membawa keselamatan dan keamanan dan kedamaian. Peperangan bukan perkara utama, sebaliknya ia seboleh-bolehnya cuba dielakkan. Ini adalah kerana di dalam Islam keutamaan ialah menawan hati orang yang kenal dan kasih kepada Tuhan, secara automatik dia juga akan mengasihi sesama manusia tanpa ada kepentingan. Tetapi jika dengan Tuhan yang begitu berjasa kepada kita, tidak kita kasih, maka bagaimana kita dapat mengasihi orang lain. "
Manusia dilahirkan hasil daripada sebuah ikatan kasih sayang di antara sepasang suami isteri. Jelas bahawa fitrah kejadian manusia itu sendiri amat berkait rapat serta tidak dapat dipisahkan dari unsur-unsur kasih sayang. Oleh sebab itulah manusia sangat dituntut untuk berkasih sayang sesama sendiri.
Di dalam Islam, kasih sayang amat tinggi nilainya. Banyak masalah yang berlaku dalam dunia ini akan selesai jika ada kasih sayang. Berlakunya peperangan, pergaduhan, perpecahan, porak-peranda rumahtangga, adalah berpunca dari gersangnya kasih sayang di hati manusia . Sedangkan fitrah semulajadi manusia inginkan kasih sayang. Tapi bila keperluan fitrah tersebut tidak terisi, jiwa manusia akan kosong, kering dan tandus. Maka berlakulah krisis, huru-hara, hingga akhirnya tercetuslah peperangan.
Bukti kasih sayang sangat penting dan tinggi nilainya dalam Islam, antaranya ialah:
1. Allah memerintahkan manusia memulakan sebarang pekerjaan dengan ucapan: Bismillahir Rahmanir Rahim - ertinya, "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani." Allah tidak suruh kita sebut: "Bismillahil Qahhar Wal Jabbar", sedangkan ia juga adalah sifat-sifat Allah. Terdapat banyak lagi sifat-sifat Allah yang boleh disebut, tapi kenapa kita hanya diperintahkan membaca: Bismillahir Rahmanir Rahim. Malah ia juga menjadi sebahagian daripada bacaan Al Fatihah yang wajib dibaca waktu solat.
Ini membuktikan bahawa Allah tidak mahu hamba-hamba-Nya lebih mengenali-Nya sebagai Tuhan yang sangat keras menghukum walaupun Allah berhak menghukum hamba-Nya yang zalim. Sebaliknya Allah mahu kita mengenali-Nya sebagai Tuhan yang sangat mengasihani dan maha penyayang.
Oleh kerana Tuhan itu sendiri adalah lambang kasih sayang, maka tentulah nilai kasih sayang di dalam ajaran Islam itu sendiri amat tinggi. Rasulullah SAW, kekasih Allah, satu-satunya hamba, makhluk dan manusia yang dipuji dan diselawat ke atasnya oleh Tuhan, sedangkan Rasulullah juga adalah salah seorang hamba ciptaan-Nya. Mengapa begitu tinggi dan mulia status Rasulullah di sisi Tuhan. Cuba kita lihat pujian Tuhan kepada Rasulullah. Tuhan berkata, " Di antara rahmat Aku kepada engkau ialah engkau boleh berkasih sayang dengan manusia."
Allah tidak berkata: "Di antara rahmat Aku kepada engkau, engkau banyak ilmu, berani (atau lain-lain kebolehan dan kelebihan Rasulullah)." Tetapi yang dipuji dan ditonjolkan ialah kasih sayang dan kelembutan Rasulullah. Di sini jelas menunjukkan kasih sayang punya nilai yang sangat tinggi di sisi Tuhan.
2. Anjuran kasih sayang dalam Islam bukan hanya sekadar bersama kawan, bahkan juga terhadap musuh di dalam peperangan. Contohnya, Islam mengajar disiplin dan tatasusila peperangan agar kematian dan kerosakan, jika ada, adalah sangat minima. Islam mengajar adab berperang antaranya seperti berikut:
a. Tidak boleh menyerang selagi belum diserang .
b. Tidak dibenarkan membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua.
c. Tidak boleh menyerang orang-orang yang sedang beribadah dan merosakkan rumah-rumah ibadah .
d. Tidak boleh menyerang dan merosakkan pokok-pokok, tanaman dan binatang ternakan.
Islam menganjurkan adab berperang yang begitu ketat bagi memastikan tiada orang yang tidak berdaya dan tidak berdosa terkorban di dalam peperangan. Peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah ialah peperangan satu lawan satu. Orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan tidak akan terkorban. Bukan seperti peperangan hari ini, di mana dalam masa tidak sampai seminit, sebutir bom sahaja dapat mengorbankan ribuan manusia yang tidak berdosa. Bangunan-bangunan habis musnah dalam sekelip mata, membawa kerugian yang sangat besar serta memerlukan masa yang lama untuk dipulihkan semula.
Sebaliknya Islam membawa keselamatan dan keamanan dan kedamaian . Peperangan bukan perkara utama, sebaliknya ia seboleh-bolehnya cuba dielakkan. Ini adalah kerana di dalam Islam keutamaan ialah menawan hati, bukan menawan fizikal. Rasulullah sendiri tidak pernah membunuh di dalam peperangan. Ramai tersungkur di tangan Rasulullah kerana tertawan dengan akhlaknya, kasih sayangnya dan kelembutannya dan bukan ditawan melalui pedangnya.
Di sini menunjukkan kepada kita bahawa Islam adalah agama kasih sayang. Kasih sayang amat tinggi nilainya di dalam ajaran Islam sehinggakan dengan musuh pun dianjurkan supaya berkasih sayang. Oleh kerana kasih sayang punya nilai yang sangat tinggi di dalam Islam, maka ia menjadi senjata yang amat ampuh bagi menawan musuh.
Thursday, July 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment