Firman Allah SWT:
Maksudnya: Agama pada di sisi Allah itu adalah Islam. (Ali Imran: 19)
Mengikut pada maksud lahir, ayat ini bermakna agama yang Tuhan terima atau redha itu adalah agama Islam. Justeru itu orang yang berfahaman sedemikian merasa cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi orang Islam dan membuat dan melaksanakan rukun Islam yang lima. Di sini kita tidak boleh silap faham. Agama di dalam ayat ini bukan setakat pegangan dan kepercayaan. Agama di dalam ayat ini ialah Addeen atau cara hidup (way of life). Sama ada cara hidup itu di peringkat individu ataupun di peringkat masyarakat. Cara hidup di peringkat individu ialah yang ain dan di peringkat masyarakat ialah yang kifayah. Cara hidup di peringkat individu ialah yang bersangkut paut dengan iman, ketaqwaan, ketuhanan dan ibadah khususiah yang bertujuan untuk membina iman, jiwa dan akhlak. Cara hidup di peringkat masyarakat pula ialah yang bersangkut paut dengan ibadah umumiah atau pembentukan sistem hidup seperti sistem ekonomi, pendidikan, masyarakat, kebudayaan, kesehatan, kemajuan, pembangunan dan sebagainya.
Cara hidup di peringkat individu adalah peranan manusia sebagai hamba bersabit hubungannya dengan Tuhan (Hablumminallah). Di peringkat masyarakat adalah peranan manusia sebagai khalifah yang bersabit hubungannya dengan sesama manusia (Hablumminannas).
Kedua-dua hubungan ini adalah di dalam rangka membina tamadun. Di peringkat individu untuk membina tamadun rohaniah dan di peringkat masyarakat untuk membina tamadun lahiriah.
Islam di dalam ayat ini pula bukan setakat agama Islam itu sendiri. Bukan juga setakat penyembahan, rukun atau hukum-hakam. Islam di sini bermaksud selamat dan menyelamatkan. Bukan setakat selamat. Kalau selamat tentu Tuhan akan sebut Salmun. Islam bermaksud kita selamat dan orang lain selamat. Jadi, kalau dikupas secara terperinci, ayat ini membawa maksud yang tersirat seperti berikut:
Addeen (cara hidup) pada sisi Allah itu adalah selamat dan menyelamatkan.
Ini bermakna kalau cara hidup atau tamadun yang kita tegakkan adalah kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu, maka ia akan selamat dan menyelamatkan. Tamadun Islam itu (rohaniah dan lahiriah) selamat bagi orang Islam dan menyelamatkan bagi orang lain. Tamadun Islam itu tidak menindas, tidak menekan, adil dan tidak militan. Inilah yang dimaksudkan dengan tamadun hadhari.
Jangan ambil selain Islam sebagai cara hidup
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Barang siapa yang menghendaki selain Islam sebagai cara hidup, sekali-kali tidak akan diterima daripadanya dan di Akhirat, ia menjadi orang yang rugi. (Ali Imran: 85)
Manusia itu bermula dari diri dalamannya. Apa yang dilahirkan itu adalah buah. Sebelum boleh mengaddeenkan kehidupan lahirnya, manusia mestilah terlebih dahulu mengaddeenkan diri dalamnya, iaitu bermula dari akalnya, kemudian nafsunya dan hatinya.
Setelah akalnya, nafsunya dan hatinya terdidik bertunjangkan iman, taqwa dan rasa bertuhan, barulah akan lahir buahnya iaitu deenul Islam atau cara hidup Islam. Selain deenul Islam atau cara hidup Islam, Tuhan tidak terima. Akibatnya manusia akan rugi. Rugi itu maksudnya akan dilempar ke dalam Neraka.
Dalam hendak membina tamadun dan cara hidup, umat Islam tidak ada pilihan. Umat Islam mesti kembali kepada cara hidup Islam. Kalau tidak, cara hidup atau tamadun itu tidak akan diterima Tuhan. Tambahan lagi, kalau mengikut cara hidup atau tamadun yang dicipta akal manusia, ia akan merosakkan kehidupan manusia itu sendiri dan manusia akan hidup dalam kehinaan dan penderitaan. Apa pun, tamadun itu mesti bermula dari pembinaan insan atau pembinaan diri dalam manusia yang merangkumi akal, nafsu dan hati.
Amalan Islam mesti syumul
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya. (Al Baqarah: 208)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Apakah kamu mengambil sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain. Tidak ada balasan bagi orang yang melakukan demikian itu melainkan akan ditimpa kehinaan di dunia. Manakala di Akhirat akan dicampakkan pada azab yang pedih. (Al Baqarah: 85)
Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya: Bukan sifat mukmin lelaki mahupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukum, mereka memilih-milih (yang sesuai dengan selera mereka). (Al Ahzab: 36)
Islam itu satu sistem keselamatan. Kalau Islam itu tidak diambil atau diamalkan keseluruhannya, akan ternafilah keselamatan yang dijanjikan oleh Islam. Kita tidak boleh beriman dengan sesetengah ayat Quran dan kufur dengan sesetengahnya. Kita tidak boleh amalkan sesetengah ayat Quran dan meninggalkan sesetengahnya. Kita tidak boleh campur adukkan sistem Islam dengan sistem-sistem yang lain, dan kemudian menuntut keselamatan dari Tuhan.
Sistem Islam itu adalah penawar. Sistem-sistem yang lain adalah racun. Kita tidak boleh campurkan racun dengan penawar dan kemudian menganggapnya sebagai ubat. Kalau kita berbuat begitu, bukan sahaja penyakit yang ada tidak akan sembuh, bahkan akan timbul pula berbagai-bagai penyakit yang lain.
Kalau kita berjaya mengamalkan Islam keseluruhannya iaitu berjaya menegakkan cara hidup dan tamadun Islam, baik yang lahir mahupun yang batin, maka Tuhan janjikan apa yang difirmankan Allah SWT dalam Quran:
Maksudnya: Negara aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan. (As Saba: 15)
Aman negara itu adalah kerana adanya ukhuwah dan kasih sayang, perpaduan, timbang rasa, bersatu padu, rasa bersama, bekerjasama, bertolak ansur, maaf-bermaafan, doamendoakan, bertolong-bantu, bela-membela, pemurah dan berdisiplin hasil dari terbinanya rohani dan insan rakyat. Negara damai, tenang dan sejahtera. Tidak ada krisis, pergaduhan, perbalahan dan jenayah.
Makmur negara itu bila ada pembangunan, ada jalan raya, ada kemudahan, mewah makan minum, berpakaian, cukup tempat tinggal, mudah perhubungan, mudah mengurus keperluan dan kehidupan dan sebagainya. Makmurnya negara itu adalah sebagai alamat atau isyarat kasih sayang Tuhan terhadap negara dan rakyatnya yang telah berjaya mendirikan Islam dalam diri dan negara mereka.
Keampunan Tuhan itu bukanlah kerana negara makmur. Tidak ada kaitan negara makmur dengan keampunan Tuhan. Tuhan tidak memberi keampunan kepada sesebuah negara hanya kerana negara itu makmur. Kalau begitulah maka Amerika dan Eropah lebih layak mendapatkan keampunan Tuhan kerana mereka makmur.
Keampunan Tuhan itu adalah kerana makmurnya hati rakyat sesebuah negara. Apakah hati yang makmur itu? Iaitu apabila hati tenang, terutama tenang dengan dunia, walaupun hati bergelora dengan Tuhan. Hati yang lapang, indah dan tidak takut pada dunia dan hal-hal keduniaan. Hati yang cinta dan takut Tuhan hinggakan hal dunia tidak menggugat perasaan. Lapang dada dengan kesusahan dunia tetapi bimbang dengan kesusahan Akhirat. Sibuk dengan rasa bertuhan. Rasa berdosa dan takut dengan dosa. Hati yang seperti ini adalah hasil berzikrullah.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dengan mengingati (zikir) kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang (tentang hal-hal dunia). (Ar Raad: 28)
Maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka. (Al Anfal: 2)
Makmur hati inilah yang membawa kepada keampunan Tuhan, bukan makmur negara. Makmur negara itu hanya nikmat yang Tuhan segerakan kerana redha-Nya. Ia berbentuk rahmat dari Tuhan kerana kasih sayang-Nya. Itu pun kalau kemakmuran itu adalah hasil dari usaha yang bertepatan dengan syariat dan cara yang Tuhan mahu. Bukan kemakmuran mengikut konsep ciptaan manusia seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Makmur yang dicapai tanpa menegakkan cara hidup dan tamadun Islam ialah istidraj. Ia Tuhan beri dengan murka. Ia bertujuan untuk menyesatkan lagi manusia yang kufur dan ingkar.
Thursday, July 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment