Thursday, July 23, 2009

Demi Waktu Dhuha Dan Waktu Malam

AL QURAN KHAZANAH ILMU
Al Quran sebenarnya adalah khazanah ilmu. Khazanah ilmu dunia dan ilmu Akhirat. Siapa yang faham tentang Al Quran ertinya orang itu memiliki ilmu dunia dan Akhirat. Bila Al Quran difahami, dihayati dan diapplykan, maka orang itu akan maju di dunia dan Akhirat. Itulah Al Quran.

Bila dikatakan khazanah, ia adalah bahan mentah yang belum diproses dan belum dicaing-caing lagi. Bila hendak diproses, ia memerlukan kepakaran. Oleh kerana Al Quran itu merupakan khazanah, pakar yang pertama dan utama yang mampu menggali isi Al Quran ialah Rasulullah SAW. Itulah yang dikatakan Hadis dan Sunnah. Seolah-olah Hadis dan Sunnah itu satu alat yang sangat canggih untuk memproses Al Quran. Sehingga terkeluarlah isi Al Quran itu dalam berbagai aspek dan bidang.

Al Quran mengandungi ilmu yang berlapis-lapis. Di dalam ilmu ada ilmu, di dalam ilmu ada ilmu lagi. Ianya berkembang. Kerana itulah tidak cukup Hadis yang memproses, maka datanglah pakar-pakar dari golongan ulama untuk memproses lagi. Berbagai-bagai ilmu akan keluar, sesuai dengan perkembangan manusia dan sesuai dengan kemajuan manusia.

Tetapi apa yang kita lihat hari ini, pakar-pakar sudah tidak mampu menggali isi Al Quran. Entah di manalah salah dan silapnya. Kalau ibarat mendapat emas seketul, pakar-pakar itu tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan emas seketul itu. Sedangkan ia mesti dibuat cincin, kalung, gelang dan sebagainya barulah boleh digunakan dan dimanfaatkan.

Lantaran itu kalau ditanya kepada para pelajar jurusan agama sama ada mereka boleh jelaskan ilmu psikologi dalam Al Quran, mereka tidak akan boleh menjawab. Begitu juga jika ditanyakan tentang ilmu kemasyarakatan dalam Al Quran atau ilmu falsafah dalam Al Quran, mereka tidak boleh menjawab. Yang boleh mereka jawab adalah tentang ilmu hukum-hakam, halal dan haram. Khazanah ilmu sejarah, ilmu ekonomi, ilmu politik dalam Al Quran sudah tidak dapat dicungkil.

Walaupun Al Quran dan Hadis masih dapat dihafaz dan ilmu hukum-hakam meluas, kalau dinisbahkan dengan bahan makanan, maka sudah banyak. Ada ikan, sotong, daging dan sebagainya. Tetapi bila hendak disajikan, semuanya masih mentah. Lantas orang terpaksa makan makanan mentah. Oleh kerana tidak boleh diproses, ilmu itu akan terhasil dalam dua bentuk:

1. Beku, jumud dan pasif
Ibarat daging mentah, ia tidak boleh dimakan. Ilmu yang jumud dan beku tidak dapat diapplykan dan dipraktikkan dalam kehidupan. Ilmunya hanya tinggal ilmu, dijadikan mental exercise dan bahan untuk perbahasan dan mujadalah. Ilmu Al Quran yang tidak diproses tidak boleh lahirkan kemajuan.

2. Ilmu militan
Ilmu yang begini bila disebut sahaja, orang jadi takut dan bimbang. Orang yang mendengar akan merasakan Islam terlalu keras dan kasar. Susah untuk diamalkan. Kalau amal pun secara terpaksa. Sedangkan Islam adalah cara hidup yang mudah, praktikal dan indah.

Al Quran adalah khazanah yang merupakan mukjizat Rasulullah. Ia kalamullah kepunyaan Allah, bukan sesuatu yang dicipta. Tentulah ilmunya luar biasa. Setiap satu ayat dan perkataan di dalam Al Quran boleh diproses, dicungkil hingga terhurai pelbagai ilmu. Walaupun dari satu perkataan Al Quran, ia mengandungi ilmu.

Contohnya Allah berfirman di dalam surah Ad Dhuha:

Maksudnya: "Demi waktu dhuha dan demi waktu malam bila ia berlabuh." (Ad Dhuha: 1-2)
'Wad dhuha' ertinya 'demi waktu dhuha', dan 'wallaili' ertinya 'demi waktu malam'. Kita akan bahaskan dua perkataan Al Quran ini sahaja. Maksudnya Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha dan Tuhan bersumpah dengan waktu malam. Perlu diingat bahawa bila Tuhan bersumpah dengan sesuatu perkara atau keadaan, itu menunjukkan perkara atau keadaan itu sangat penting. Ia suatu perkara yang menarik perhatian. Kalau tidak penting tentu Tuhan tidak sebut. Tuhan tidak berkata, "Demi habuk" atau "demi debu", yang manusia tidak dapat manfaat darinya. Bila Tuhan bersumpah dengan sesuatu perkara atau keadaan, itu sesuatu yang besar, yang manusia akan dapat manfaat penting darinya.

DEMI WAKTU DHUHA

Bilamana Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha, ia membawa beberapa tafsiran:

1. Waktu dhuha adalah waktu yang memberi erti yang sangat besar kepada kehidupan manusia. Waktu dhuha adalah waktu penting yang mesti diberi perhatian.

2. Waktu dhuha adalah 15 minit selepas waktu isyrak (terbit matahari) sehingga kedudukan matahari tepat dan tegak di atas kepala. Ertinya ilmu kedudukan matahari penting diperhatikan oleh manusia.

3. Waktu dhuha adalah waktu yang paling berfaedah buat manusia. Manusia baru bangun dari tidur, otak dan tenaga masih segar. Bila otak dan tenaga yang segar bertemu dengan waktu dan suasana yang segar, akan memberi hasil dan faedah yang banyak.

Waktu inilah manusia hendak keluar bekerja, hendak mengaji, hendak berniaga, bertani, belajar, mengajar dan sebagainya. Waktu ini juga bagi kebanyakan negara-negara terutamanya di sebelah Timur, ia tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ini menyebabkan kita seronok bekerja dan tidak cepat letih. Kalau bertani akan mendapat hasil yang banyak. Kalau sedang belajar, waktu ini juga kita boleh menerima banyak ilmu.

Walaupun boleh bekerja dan belajar hanya untuk 3 atau 4 jam di waktu dhuha tetapi hasilnya lebih banyak daripada 10 jam. Kerana itulah Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha. Jadi kita kena jaga waktu ini. Inilah waktu perdana (prime time) di mana manusia boleh berusaha dan memberikan hasil yang maksima.

QAILULAH

Selepas waktu dhuha, Tuhan sunatkan tidur qailulah selama satu jam atau setengah jam menjelang zuhur. Mengikut disiplin Islam masa bekerja cukup selama empat jam sahaja di waktu dhuha. Kemudian qailulah supaya dapat bangun malam untuk tahajud. Dalam sistem Barat, tidak boleh tidur qailulah malah akan menimbulkan kemarahan majikan. Sistem Tuhan tidak sama. Tuhan Maha Baik menjaga dan mentadbir para hamba-Nya sehingga jadual kehidupan para hamba-Nya juga, Dia yang menyusunnya. Dia Maha Mengetahui tentang waktu yang Dia ciptakan dan tentang kemampuan manusia ciptaan-Nya.

DEMI WAKTU MALAM

Ayat kedua ialah "Demi waktu malam bila ia berlabuh." Ini boleh ditafsirkan dalam beberapa aspek:

1. Kita kenal waktu 'malam' itu dari bila ia bermula dan bila akhirnya. Iaitu daripada mula ghurub (terbenam matahari) hingga terbit fajar.

2. Tuhan bersumpah dengan waktu malam untuk perhatian manusia bahawa banyak perkara negatif berlaku pada waktu malam. Waktu malam selalunya manusia tidak beranikan diri. Ramai orang buat kejahatan seperti merompak, mencuri, membunuh, berbuat maksiat di waktu malam. Tuhan juga suruh berjaga-jaga dan berwaspada terutama daripada binatang buas yang keluar mencari makan di waktu malam. Hal-hal lahiriah yang merbahaya ini diberi amaran oleh Tuhan.

3. Perkara negatif yang batiniah ialah bila Tuhan memberitahu bahawa pada waktu malam, iblis melepaskan tentera-tenteranya untuk menggoda dan mengacau orang-orang yang hendak beribadah. Pada waktu ghurub, Tuhan mensunatkan menutup pintu dan tingkap. Syaitan akan keluar pada waktu itu dan mengambil peluang untuk mengganggu anak kecil, orang bersembahyang dan sebagainya. Di waktu malam juga jangan menyidai pakaian di luar kerana syaitan-syaitan itu akan muntah ke pakaian itu dan menyebabkan penyakit. Juga sunat memadamkan lampu waktu hendak tidur.

4. Rahmat Tuhan jadikan waktu malam untuk manusia berehat. Agar kecergasan akal dan fizikal dapat dipulihkan kerana pada waktu siang, akal dan tenaga telah digunakan.

Firman Allah:
Maksudnya: "Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan (menjadikan) siang yang terang-benderang (agar kamu mencari kurnia Allah)." (Yunus: 67)

5. Pada waktu malam Tuhan mendisiplinkan kepada para hamba-Nya yang cinta dan takut kepada-Nya agar bangun malam untuk tahajud.

Waktu malam juga Tuhan membekalkan kekuatan hati dan jiwa di mana Tuhan menyuruh kita bangun untuk menyembah Tuhan, bermunajat dan merintih-rintih kepada Tuhan. Malam adalah waktu untuk para hamba bertaubat di atas segala dosa yang telah dilakukan di siang hari atau sebelumnya. Supaya hamba mendapat keampunan Tuhan, mendapat kekuatan dan ketahanan jiwa. Supaya dengan kekuatan itu kita dapat bekerja pada esok harinya dan berupaya menempuh segala ujian, cabaran atau masalah yang datang dengan bantuan Tuhan.

Begitulah Tuhan bersumpah, meminta hamba-Nya menjaga waktu malam untuk kekuatan di siang hari. Lantas munasabahlah Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha dan waktu malam. Dua waktu ini kena dijaga betul-betul untuk kesihatan, kekuatan dan kemajuan.


Sajak

Membuang Masa Percuma

Jangan membuang masa sia-sia tanpa berusaha

untuk kehidupan Akhirat atau dunia

Kerja sia-sia itu tidak mesti

perkara yang haram sahaja

Masa sangat berharga, apabila berlalu

masa yang berlalu tidak akan tiba

Kalau masa tiba juga, itu adalah masa yang lain pula

Alangkah malangnya masa yang berlalu itu

tidak diisi dengan kerja-kerja yang berguna

Padahal di Akhirat kelak

di antara yang Tuhan akan tanya

adalah masa yang merupakan umur kita

Di antara masa-masa yang sia-sia

asyik tidur-tidur sahaja

di waktu bukan masa tidur

Berbual-bual kosong berjam-jam lamanya

sekalipun tidak membualkan

perkara yang haram di sisi agama

Menung yang lama, bukan memikirkan dosa

atau ilmu atau sesuatu yang berguna

Melepak-lepak tidak ada tujuan dan matlamatnya

Berjalan-jalan yang tidak ada tujuan

dan matlamat apa-apa sama ada

untuk faedah Akhirat mahupun faedah dunia

Selain itu seperti bermain daun pakau berlama-lama sekalipun bukan berjudi

hanya seronok-seronok aja

Termasuk juga bermain catur

yang memakan masa

yang tidak memberi faedah apa-apa

Di waktu itu kalau diisi

dengan amalan-amalan Akhirat

atau usaha-usaha mencari rezeki

alangkah baiknya

Termasuk juga kerja sia-sia

melihat orang lalu-lalang tanpa tujuan apa-apa

Menghabiskan masa berangan-angan

tanpa usaha dan kerja

Angan-angan apa dapat?

Hanya dapat angin dan habuk sahaja

Itulah dia yang dikatakan

membuang masa yang sia-sia

Matlamat dan tujuan Akhirat pun tidak

tujuan untuk dunia pun tidak

Hanya membuang-buang masa percuma

dengan tidak ada tujuan apa-apa

No comments:

Post a Comment